|
PUTRAJAYA 9 Julai - Ingress
Corporation Bhd. yakin berjaya dalam usaha membida
bagi projek elektrifikasi landasan Seremban-Gemas
dan penyambungan transit aliran ringan Lembah Klang
bernilai RM400 juta.
"Kami dalam kedudukan yang baik untuk memenangi
bida berkenaan memandangkan pengalaman kami dalam
melaksanakan kerja-kerja elektrifikasi pada kos
yang lebih rendah berbanding syarikat asing,"
kata Naib Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Rameli Musa
(gambar).
"Tahun depan, tumpuan akan diberikan kepada
projek landasan memandangkan kerajaan dijangka meningkatkan
perbelanjaan dalam infrastruktur," kata beliau
selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan di sini
hari ini.
Pada Isnin, syarikat sekutu Ingress dengan pemilikan
49 peratus, Balfour Beatty Rail Sdn Bhd, dalam satu
usaha sama dengan Ansaldo STS Malaysia Sdn Bhd,
memperoleh kontrak sistem rel bernilai RM1.0 bilion
bagi projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar
daripada MMC-Gamuda Joint Venture Sdn. Bhd.
Rameli berkata, kumpulan itu menyasarkan sumbangan
perolehan sebanyak RM50 juta setahun daripada bahagian
pembuatan komponen automotifnya yang akan membekalkan
komponen wayar untuk model Proton Persona, Gen.2
dan Saga.
"Ini akan berlaku dengan pengeluaran sepenuhnya
bermula dari September tahun ini," katanya.
Ingress mengunjurkan pertumbuhan perolehan dua
angka yang kukuh bagi bahagian pembuatan komponen
automotif dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan
datang.
Menurut Rameli, kumpulan syarikat itu masih belum
merasakan kesan kenaikan harga bahan api.
Ingress mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak
RM14.191 juta bagi tahun kewangan yang berakhir
pada 31 Januari 2008, daripada keuntungan sebelum
cukai sebanyak RM1.219 juta pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, perolehan naik kepada RM398.862 juta
daripada RM358.776 juta sebelumnya.
Rameli berkata, kumpulan menjangka dapat mencatatkan
keuntungan pada tahun kewangan semasa daripada pengembangan
pengedaran auto premium BMW, saluran pengeluaran
baru dan usaha teroka ke dalam pasaran baru seperti
India untuk kejuruteraan tenaga dan kerja berkaitan
landasan.
"Jualan pengedaran juga amat menggalakkan,
dengan purata kira-kira 40 kereta sebulan,"
katanya.
- Bernama
|