Features - News
 
Tuesday, 11 July 2006   - Utusan Malaysia
Ingress runding penggabungan

Datuk Rameli Musa
Kami mahu mencipta sinergi dengan calon rakan kongsi dan kami hanya berminat berbuat demikian dalam industri yang kami mempunyai kepakaran (automotif)

Rameli Musa Naib Pengerusi Eksekutif

SERI KEMBANGAN 10 Julai - Ingress Corporation Bhd. (Ingress), pengeluar komponen kenderaan, sedang berunding dengan dua buah syarikat automotif tempatan bagi cadangan penggabungan atau pengambil alihan.

Naib Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Rameli Musa (gambar) berkata, langkah Ingress itu sejajar dengan seruan kerajaan supaya syarikat pengeluar atau pemasangan komponen kenderaan bergabung.

Katanya, sebuah daripada syarikat yang dirundingnya juga merupakan pengeluar komponen kenderaan dan hasil rundingan dijangka diketahui dalam tempoh dua bulan lagi.

"Kami mahu mencipta sinergi dengan calon rakan kongsi yang tepat dan kami hanya berminat berbuat demikian dalam industri yang kami mempunyai kepakaran (automotif)," katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, hari ini.

Di peringkat antarabangsa, Rameli berkata, Ingress juga sedang menimbang tiga cadangan perluasan operasi iaitu ke China, Taiwan dan India.

Di India, katanya, syarikat itu menerima perlawaan untuk mendirikan kilang di New Delhi dan Mumbai, atas permintaan pelanggannya iaitu Suzuki dan Honda.

"Kami mahu memastikan bukan sahaja memperoleh rakan kongsi yang terbaik tetapi juga lokasi bersesuaian dengan keperluan industri automotif di sana," katanya.

Bagi China dan Taiwan, kata beliau, Ingress menerima pelawaan untuk menjadi rakan kongsi menerusi pengambil alihan kepentingan ekuiti tertentu.

"Semua ini kita sedang menilai secara teliti supaya tidak menjejaskan fokus operasi kami di Indonesia dan Thailand yang memiliki capaian pasaran global.

"Ini kerana pengeluaran komponen kenderaan di kedua-dua negara itu dieksport hampir ke seluruh dunia," kata beliau.

Mengenai operasi dalam negeri, Rameli berkata, permintaan yang rendah bagi model Proton tidak menjejaskan Ingress berikutan pertumbuhan rancak bagi kereta keluaran Perodua, terutamanya Myvi.

Perodua menyumbang 40 peratus kepada keseluruhan keluaran kilang Ingress, diikuti oleh Honda dan Mitsubishi.

Pertumbuhan Perodua itu, ujar Rameli, menyebabkan Ingress tidak lagi bergantung kepada Proton yang mungkin diturunkan ke paras 20 peratus berbanding 30 peratus sekarang.

Bagi tahun kewangan berakhir 31Januari 2006, Ingress mencatat perolehan sebanyak RM289 juta, iaitu meningkat 35 peratus berbanding RM213 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Mengenai perniagaan bukan automotif, Rameli berkata, Ingress menjangka projek pembinaan landasan keretapi Rawang-Ipoh akan memberi sumbangan lebih besar berbanding sektor automotif kepada syarikat di masa mendatang.

"Kita telah meminta kelulusan kerajaan untuk mendapatkan lanjutan tempoh masa penyiapan projek yang kini disasarkan pada akhir tahun depan, " katanya.

Bagi segmen minyak dan gas, beliau berkata, kegiatan pembersihan tangki minyak kapal yang merupakan perniagaan khusus kejuruteraan dan pemeriksaan, baru saja ditubuhkan.

Menurutnya, Ingress baru saja dalam proses mendaftar dengan Petronas dan lain-lain badan berkaitan, dan baru bertapak di Indonesia.

"Ini kerana kegiatan pembersihan tangki minyak tidak banyak di Indonesia dan Thailand berbanding Malaysia," tambah beliau.