Features - News
 
Tuesday, 11 July 2006   - Berita Harian
Ingress jangka muktamad rundingan rakan kongsi

PENGELUAR komponen automotif, Ingress Corporation Bhd menjangka memuktamadkan rundingan dengan dua rakan kongsi penggabungan tempatan berpotensi dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Naib Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Rameli Musa.

"Kami berunding dengan dua pihak, bagi yang pertama, kami berharap ia dapat dimuktamadkan dalam tempoh sebulan dua ini, manakala rundingan dengan pihak yang satu lagi akan mengambil masa beberapa bulan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat di Kuala Lumpur, semalam.

Rameli berkata, cadangan itu dijangka diselesaikan menerusi bayaran tunai.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan pihak yang terbabit.

Rameli berkata, syarikat merancang menjadikan penggabungan dan pengambilalihan sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhannya.

Ingress menjangkakan pertumbuhan pendapatan lebih 30 peratus bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Januari 2007 berbanding RM289.71 juta tahun lalu, katanya.

Beliau berkata, syarikat juga sedang berbincang dengan dua syarikat di New Delhi dan Mumbai sebagai sebahagian langkahnya untuk meneroka ke pasaran automotif India.

Ingress, yang ditubuh pada 1991, beroperasi di Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Ia terbabit dalam pembuatan dan pembekalan acuan dan bingkai.

Pelanggan utamanya ialah Perodua yang menyumbang lebih 40 peratus daripada pendapatan syarikat, Honda (16 peratus), Mitsubishi, Isuzu dan Proton (masing-masing 13 peratus).