Features - News
 
12 February 2004   ~ Utusan Malaysia
Ingress Alih Tumpuan Niaga Dari Proton Ke Perodua

 

BANGI 11 Feb. - Ingress Corporation Bhd. (Ingress) akan mengalihkan tumpuan kegiatannya daripada pengeluaran komponen set pintu kereta Proton kepada kereta Perodua mulai tahun depan ekoran jangkaan permintaan merosot dari syarikat pengeluar kereta nasional pertama itu.

Naib Pengerusi Eksekutifnya, Rameli Musa berkata, jangkaan kemerosotan permintaan dari Proton akan ditampung oleh permintaan daripada Perodua.

Rameli berkata, pihaknya hanya mampu meraih sekitar RM2.5 juta daripada komponen pintu model terbaru Proton Gen.2 kerana ia dikeluarkan menggunakan proses pemekapan pintu (door stamping) berbanding RM25 juta untuk model Kelisa.

``Komponen yang kami sediakan untuk kegunaan pada setiap pintu Gen.2 hanya bernilai RM31 berbanding RM700 bagi bingkai pintu model Kelisa dan Kancil,'' tambah beliau selepas mesyuarat agung luar biasa Ingress di sini, hari ini.

Rameli berkata, bagi model kereta Waja dan Wira, Ingress mampu memperoleh RM150 bagi setiap bingkai pintu yang dibekalkan.

Beliau berkata, Ingress bakal diberikan kontrak membekal set pintu kepada Perodua berjumlah RM65 juta bagi model Kancil dan Kelisa pada tahun 2005 dan menjangkakan kontrak tambahan bernilai RM40 juta sekiranya terdapat pelancaran model terbaru.

Rameli berkata, kilang pengeluarannya di Thailand dan Perodua dijangka menyumbang kepada keuntungan yang memberangsangkan berbanding Proton.

``Pengeluaran di kilang Thailand dijangka menyumbangkan RM100 juta kepada perolehan Ingress,'' kata beliau.

Selain itu memenuhi keperluan kereta tempatan, Ingress juga mengeluarkan peralatan komponen untuk Honda, Mazda dan Mitsubishi. Kesemua komponen itu diperbuat di Malaysia, Thailand dan juga di Indonesia.

Untuk jangka masa panjang, Ingress kata Rameli juga turut mengadakan perbincangan dengan pengeluar kereta Nissan dan Toyota bagi membekalkan komponen kereta kepada mereka.