Features - News
 
12 July 2005  ~ Harian Metro
By Hatipah Ahmad
Ingress Tingkat Keupayaan - Pengeluaran kereta baru galak peluang perniagaan

INGRESS Corporation Bhd ( Ingress ), pengeluar komponen automotif untuk kenderaan yakin pengeluaran model baru bagi kereta tempatan dan import dipasaran kini dapat menjana lebih peluang perniagaan kepada kumpulan itu, tahun ini.

Ketika ini, penyumbang utama pendapatan kumpulan ialah Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang baru melancarkan model terbaru MyVi diikuti pengeluar kenderaan lain seperti Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton), Honda dan Mitsubishi.

Naib Pengerusi Eksekutifnya, Rameli Musa, berkata dengan pengenalan lebih banyak model baru, perniagaan kumpulan dilihat berpotensi berkembang.

Ingress mengeluar dan membekalkan lebih 108 komponen kecil untuk pintu bernilai RM1,000 bagi sebuah MyVi dan 20 komponen seperti bingkai, acuan, bingkai tengah dan komponen acuan kecil lain bernilai RM100 bagi sebuah Savvy.

Katanya, pengeluaran acuan dan bingkai pintu untuk model tempatan dihasilkan dkilangnya di Bukit Beruntung, Rawang manakala bagi model Honda pula di tiga kilangnya di Rayong dan Ayuthaya, Thailand manakala Mitsbishi dan Suzuki di Bekasi, Indonesia.

"Justeru keperluan itu, kami melabur hampir RM101 juta untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran di kilangnya di Malaysia, Thailand dan Indonesia.

RAMELI ...berpotensi

"Daripada jumlah itu, kira-kira RM70 juta dilabur untuk menambah kapasiti kilang di Bukit Beruntung manakala RM23 juta untuk membina kilang baru di Ayuthaya sebagai tambahan kepada dua kilang sedia ada di Rayong dan RM8 juta lagi di Bekasi," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunannya di Bangi, Selangor semalam.

Rameli berkata, kilangnya di Bukit Beruntung sudah diperluaskan kemudahannya dengan menggandakan kawasan binaan dan kapasiti pengeluaran untuk mengeluarkan pintu untuk model tempatan seperti Kelisa, Kancil, Wira dan Waja.

Beliau berkata, kilang baru di Ayuthaya seluas 2,100 kaki persegi, sudah mula beroperasi sejak April lalu dan ia menampung bekalan komponen Honda terutama model baru, sebagai tambahan kepada komponen acuan dan bingkai sedia ada untuk Honda Accord, City dan Jazz.

Selain Honda, kilang di Thailand juga membekalkan bingkai pintu kepada Ford dan Mazda serta projek model kereta-P Mitsubishi yang baru.

Katanya, kilang di Indonesia di Kawasan Perindustrian Jakabeka pula, baru beroperasi tahun lalu mengeluarkan acuan kepada Mitsubishi dan bingkai kepada Suzuki termasuk projek acuan 'weather strip' untuk Suzuki Futura dan Carry pada 2006.

Mengenai tinjauan masa depan, katanya, Ingress yakin ia akan memberi prospek menguntungkan kerana operasinya di Thailand saja, membabitkan pengeluaran komponen pintu untuk 1.2 juta unit kereta tahun ini dan di Indonesia pula, ia dijadualkan mula menjana pulangan tahun depan.