| KUALA
LUMPUR 30 Jan. - Ingress Corporation Bhd. (Ingress)
akan mula membekalkan komponen kenderaan Mitsubishi
melalui operasinya di Bekasi, Indonesia pada bulan
Mac depan sebelum membekal komponen kenderaan Suzuki
lima bulan selepas itu.
Naib Pengerusi Eksekutifnya, Rameli
Musa berkata, pada peringkat awal, operasi di Indonesia
dijangka menjana pendapatan yang kecil iaitu kurang
RM5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari
2005 sebelum meningkat kepada RM15 juta pada tahun
berikutnya.
"Kami akan membekalkan 2,000
hingga 3,000 komponen sebulan untuk kenderaan Mitsubishi
sebulan dan 6,000 hingga 7,000 komponen sebulan
bagi Suzuki,'' kata beliau lagi.
Pada 26 Jun tahun lalu, Ingress
menerusi anak syarikatnya, Ingress Precision Sdn.
Bhd. (IPSB) memeterai perjanjian usaha sama dengan
rakan perniagaan di Indonesia, Herman Zaini Latif
bagi mewujudkan PT Ingress Malindo Ventures (PT
Ingress).
PT Ingress disasar membekalkan
bingkai pintu dan acuan kepada P.T Krama Yudha Tiga
Berlian Motor (untuk model Mitsubishi Colt) dan
PT Indomobile Suzuki International Indonesia (bagi
model baru Suzuki di bawah Projek Kenderaan Asia).
Selain di Indonesia, Ingress juga
beroperasi di Rayong, Thailand dengan membekalkan
komponen kenderaan Honda, Isuzu, Mitsubishi, Ford
dan Mazda selain daripada membekalkan komponen kepada
Proton dan Perodua di Malaysia.
Menurut Rameli, operasi di Indonesia
dijangka sama seperti Thailand di mana ia dilakukan
secara kecilan pada awal sebelum mengembang kemudiannya.
Ditanya mengenai operasi di Malaysia,
beliau memberitahu, keuntungan tahun ini bergantung
kepada prestasi jualan tiga model baru Proton.
"Pembekal komponen kenderaan
bergantung kepada jumlah dagangan dan kita berharap
Proton berjaya dalam memasarkan kenderaan mereka,''
tambah beliau lagi
|