| ANAK
syarikat milik penuh Ingress Corporation Berhad,
Ingress Engineering Sdn Bhd (IESB), memeterai tiga
perjanjian bagi pembelian PT Bina Selaras Tradindo.
Syarikat itu dalam kenyataannya
kepada Bursa Malaysia berkata, pemilikan itu akan
membuka jalan ke arah penyertaan lebih meluas
Ingress di pasaran Indonesia, sejajar strateginya
untuk mengembangkan kedudukannya di rantau Asean.
Pemilikan itu akan melengkapkan
kegiatan perniagaan teras kumpulan itu dalam pengeluaran
komponen automotif dengan membabitkan diri dalam
program hiliran iaitu perdagangan dan pengimportan
peralatan automotif, mesin dan kelengkapan, katanya.
Kumpulan itu berkata, ia juga akan
berpeluang untuk berniaga dalam komoditi atau perdagangan
lain yang menguntungkan, jika peluang muncul.
Tradindo adalah sebuah syarikat
yang diperbadankan di Indonesia pada 21 November,
1997.
Kegiatan utamanya adalah dalam
perdagangan, pengimportan dan pengeksportan peralatan
automotif, beberapa komoditi dan produk.
Ingress berkata perjanjian pertama
yang dimeterai adalah Perjanjian Jualan Saham dengan
Asia Pacific Wing Sdn Bhd (APWSB) bagi pemilikan
58 peratus kepentingan dalam Tradindo untuk RM611,300.
Perjanjian kedua ialah Perjanjian
Jualan Saham dengan Fauzi Afrianto Rifai (FAR) bagi
pemilikan dua peratus di dalam Tradindo untuk RM20,400.
Ketiga ialah Perjanjian Pemegang
Saham antara APWSB, FAR, IESB dan Tradindo bagi
mencerminkan struktur ekuiti baru dan pegangan saham
syarikat berkenaan apabila selesai transaksi itu.
Ingress berkata, pemilikan itu
adalah tertakluk kepada kelulusan BKPM dan Kementerian
Keadilan, Indonesia. Kelulusan itu dijangka diperoleh
dalam tempoh dua bulan.
Selain daripada kos pemilikan yang
akan ditanggung IESB, pemilikan yang akan ditanggung
IESB, pemilikan itu tidak dijangka mempunyai sebarang
kesan material ke atas kewangan Ingress Group bagi
tahun kewangan semasa berakhir 31 Jan.
|