Features - News
 
Saturday, 11 February 2006   - Utusan Malaysia
Ingress dilantik pengedar BMW

CYBERJAYA 10 Feb. - Pengeluar komponen kenderaan Tahap 1, Ingress Corporation Bhd., menyertai kegiatan runcit automotif dengan pelantikan anak syarikatnya, Ingress Auto Sdn. Bhd. sebagai satu lagi pengedar sah untuk BMW di Malaysia.

Pengerusi Eksekutif Ingress Auto, Rameli Musa berkata, selaras dengan pelantikan tersebut, pihaknya akan melabur RM30 juta bagi membuka pusat 4S (jualan, servis selepas jualan, alat ganti dan sistem) bagi kereta Jerman itu pada suku pertama tahun 2007.

Katanya, pelaburan itu meliputi tanah dan bangunan di tapak seluas 9,783 meter persegi terletak di Jalan Damansara, berhadapan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dan berdekatan Mutiara Damansara.

Menurutnya, selain bilik pameran serba moden, kompleks itu akan turut menyediakan bengkel mengecat dan mengetuk badan kenderaan.

``Penyertaan Ingress Auto sebagai pengedar di bawah BMW adalah sejajar dengan strategi kami untuk berhubung terus dengan para pengguna setelah membina rekod cemerlang dalam bidang pembuatan komponen automotif,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan pelantikan Ingress Auto bersama Pengarah Urusan BMW Malaysia, Wolfgang Schlimme di sini, hari ini.

Rameli berkata, dana bagi pelaburan RM30 juta itu akan dijana secara dalaman, berikutan aliran tunai Ingress yang kukuh.

Menurutnya lagi, Ingress Auto akan memastikan hanya kakitangan terbaik diambil bekerja dalam memenuhi tahap perkhidmatan yang tinggi, seperti yang diharapkan daripada pelanggan yang arif.

Ditanya sama ada Ingress akan terbabit dalam pemasangan komponen bagi kereta BMW, beliau berkata: ``Buat masa ini, tiada rancangan berbuat demikian, walaupun operasi Ingress di Thailand sudah melakukannya.''

Menurutnya, ia berkaitan pelaburan untuk kilang yang besar dan mesti diputuskan berdasarkan jumlah kenderaan yang dijual.

Bagi tujuan tersebut, ujarnya, Ingress Auto juga membuka pintu untuk perbincangan dengan BMW Malaysia bagi mengeluarkan komponen kenderaan Jerman itu pada masa hadapan.

Sementara itu, Schlimme berkata, pihaknya berbangga dengan komitmen yang diberikan oleh syarikat yang dikenali dalam industri automotif seperti Ingress, yang sanggup membentuk perkongsian eksklusif.

``Kami yakin kebolehan mereka akan menguatkan lagi kedudukan BMW dalam pasaran,'' katanya.

Kumpulan Ingress mempunyai 16 syarikat yang beroperasi di Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Ia dikenali sebagai antara pembuat komponen automotif berkualiti yang utama di rantau ASEAN.

Rangkaian pengedaran BMW meliputi 11 bilik pameran dan bengkel di seluruh negara.

Pada Ogos lalu, BMW turut melantik Kumpulan Sapura sebagai pengedarnya yang sah di negara ini.