 |
|
SERBA
CANGGIH: Rameli memberi penerangan kepada
Schlimme mengenai model pusat 4S Ingress
Auto yang terletak di Jalan Damansara.
|
INGRESS Auto Sdn Bhd ( Ingress Auto ), pengedar
sah terbaru kereta BMW di negara ini, akan melabur
RM30 juta untuk membuka pusat jualan, perkhidmatan,
sistem dan alat ganti (4S) serba canggih.
Pusat 4S di Jalan Damansara, berhadapan
Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), akan mempunyai
keluasan binaan 9,783 kaki persegi serta menempatkan
kemudahan daripada jualan kepada aksesori kenderaan
mewah keluaran Jerman itu.
Pengerusi Eksekutifnya, Rameli Musa, berkata kerja
pembinaan pusat 4S itu akan bermula pertengahan
tahun ini dan dijadualkan beroperasi pada suku pertama
2007.
“Kami komited mengedar kereta BMW. Kami akan berkembang
bersama-sama BMW,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman Ingress
Auto sebagai pengedar sah keenam kereta BMW dan
MINI oleh BMW Malaysia Sdn Bhd (BMW Malaysia) di
Ibu Pejabat BMW Malaysia di Cyberjaya, semalam.
Hadir sama Pengarah Urusan BMW Malaysia, Wolfgang
Schlimme dan Pengurus Perhubungan Awam, BMW Malaysia,
Vijayaratnam Tharumartnam.
Pembukaan pusat 4S ditetapkan pengeluar kereta Jerman
itu bagi memastikan pengedar dapat menyediakan kemudahan
lengkap setempat kepada pelanggan.
Rameli berkata, pembiayaan bagi membina pusat 4S
itu akan menggunakan dana dalaman.
|