| BANGI
27 Julai - Ingress Corporation Bhd meramalkan pertumbuhan
tinggi bagi usaha niaganya di Indonesia kerana negara
itu berkemungkinan menjadi pusat eksport bagi pembuat
kereta antarabangsa dalam jangka masa terdekat ini,
kata Naib Pengerusinya, Rameli Musa, hari ini.
Syarikat pengeluar bahagian kereta
itu memulakan operasinya di Indonesia pada Mac tahun
ini, dan menurut Rameli usaha niaga itu akan menyumbang
hanya dua peratus kepada pendapatannya tahun ini.
Namun demikian, Ingress berharap
untuk melihat usaha niaga itu berkembang pesat dalam
dua hingga tiga tahun akan datang.
``Kami juga sedang berusaha untuk
mengadakan janji niaga dengan Isuzu untuk membekalkan
bahagian kereta bagi operasinya di Indonesia,''
katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung
tahunan syarikat itu di sini, hari ini.
``Kami berharap Indonesia akan
menjadi pusat eksport bagi kebanyakan pembuat kereta
dan kami nampak potensi pertumbuhan yang tinggi
di sini,'' katanya.
Kemasukan awal syarikat itu dalam
pasaran Indonesia berbaloi dengan pemberian kontrak
bagi membekalkan peracuan kepada Mitsubishi dan
bingkai kepada Suzuki.
Pembekalan telahpun bermula bagi
projek Mitsubishi dan pengeluaran secara besar-besaran
bagi produk Suzuki baru sahaja bermula.
``Kami membekalkan lebih 4,000
buah bingkai sebulan kepada Suzuki dan kami akan
terus membekalkan peracuan bagi Mitsubishi sehingga
tahun 2007 dan jumlah jualan kepada kedua-dua syarikat
ini akan bergantung kepada tempahan, tetapi yang
pasti ia akan berkembang,'' tegasnya.
Ingress sedang mempertingkatkan
usaha pemasarannya bersama dengan rakan kongsinya
dari Jepun untuk mendapatkan kontrak daripada pembuat
kereta lain di Indonesia serta menyasarkan kontrak
bagi model-model kereta akan datang daripada pelanggannya
sekarang.
``Kami bukan sahaja memasarkan
kepada pembuat kereta, kami juga menyasarkan vendor
sedia ada dengan harapan untuk membentuk perikatan
atau bertindak sebagai vendor Tier-2 kepada syarikat-syarikat
ini,'' katanya.
Ditanya mengenai prospek di Indonesia
tahun ini, beliau berkata, bagi tahun 2004, jumlah
keseluruhan industri bagi sektor automotif di Indonesia
dijangka mencecah 400,000 buah, dan ini merupakan
peningkatan sebanyak 12.7 peratus daripada 354,789
dalam tahun 2003.
Berdasarkan jualan agregat automotif
sebanyak 143,396 buah bagi tempoh bulan Januari
hingga April, ia menjangka sekurang-kurangnya dapat
mencapai anggarannya.
|