Features - News
 
23 August 2004  ~ Utusan Malaysia
By Raja Luvena Sharifuddin
Ingress labur RM6 juta tingkatkan R&D

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Ingress Corp. Bhd. (Ingress), pengeluar komponen kenderaan bagi kegunaan kereta tempatan dan rantau ASEAN, akan membelanjakan kira-kira RM6 juta untuk memperbesarkan prasarana penyelidikan dan pembangunannya (R&D) tahun depan.

Naib Pengerusi Eksekutifnya, Rameli Musa berkata, langkah itu bertujuan memastikan syarikatnya sentiasa berada di hadapan daripada segi inovasi dan kualiti selain mengekalkan kelebihan daya saingnya di arena antarabangsa.

 "Sebuah pusat Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) akan dibuka di kilang ketiga kami di Ayyuthaya, Thailand menggantikan pusat yang lebih kecil di Rayang yang juga terletak di negara berkenaan.''

 "Sementara itu, pusat R&D tempatan di Bangi, Selangor akan diperbesarkan,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Menurut Rameli, pusat R&D Ingress yang mempunyai 25 orang kakitangan di Bangi dan lima orang di Rayong, akan ditambah dua kali ganda dalam usaha peluasan itu.

Beliau menambah, pencapaian kualiti dan inovasi tertinggi syarikat secara konsisten telah membolehkan mereka menerima sijil ISO TS 16949 : 2002 pada bulan Mac lalu.

Sambil menyatakan kurang daripada 20 buah syarikat tempatan memiliki sijil itu, Rameli berkata, Ingress memberikan penekanan serius kepada usaha R&D di dalam syarikat itu dan ia dimaksimumkan sepenuhnya dengan penggunaan sistem robot terkini yang dihasilkan oleh syarikat itu sendiri.

 "Kami bertegas dalam memastikan kakitangan kami pakar dalam hal-hal ini,'' tambah beliau.

Rameli berkata, penglibatan kakitangan Ingress di dalam kerja-kerja R&D turut melibatkan proses mereka bentuk bingkai pintu pada peringkat awal reka cipta kereta itu sendiri yang selalunya berlaku dua tahun sebelum itu.

`"Ini termasuk kereta-kereta daripada jenama Honda, Ford dan Mazda,'' katanya.

Rameli menambah, mereka sedang berunding dengan Kumpulan Naza untuk membekal komponen kepada syarikat berkenaan sama ada melalui pembinaan kilang di Gurun, Kedah atau di sini. `Perbincangan ini masih pada tahap permulaan dan keputusannya akan bergantung kepada polisi kerajaan berkenaan pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN'', ujarnya.