|
KUALA LUMPUR 22 Julai - Pembekalan
komponen automotif bagi kenderaan pelbagai guna
(MPV) Proton Exora dan Perodua yang bakal berada
di pasaran pada Oktober ini menjadi sandaran Kumpulan
Ingress Corporation Bhd. (Ingress) untuk memperbaiki
prestasi kewangan semasanya.
Selain itu, operasi pengedaran
kereta mewah BMW yang dimulakan pada suku pertama
mampu menyumbang perolehan kepada kumpulan walaupun
margin perniagaan itu adalah kecil.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk
Rameli Musa berkata, perolehan kumpulan dijangka
meningkat walaupun penjualan kereta berkurangan
berikutan kelembapan ekonomi.
"Daripada aliran yang ada,
kami telah mencapai paras (pembekalan komponen automotif)
terendah di Thailand dan Malaysia dan kami menjangka
prestasi yang lebih baik pada separuh kedua tahun
ini.
"Kami melihat perolehan akan
meningkat kerana produk baru seperti MPV Proton
dan Perodua dengan kapasiti tujuh tempat duduk,"
katanya selepas mesyuarat agung tahunan Ingress
di sini, hari ini.
Bagi tahun kewangan berakhir 31
Januari 2009, Ingress mencatatkan kerugian sebelum
cukai sebanyak RM42.4 juta berbanding kerugian sebelum
cukai berjumlah RM14.2 juta untuk tempoh yang sama
tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, kumpulan mencatatkan
keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.5 juta bagi
suku pertama berakhir 30 April lalu.
Proton Holdings Bhd. dan Perusahaan
Otomobil Kedua Sdn. Bhd. merupakan dua pelanggan
utama Ingress dengan masing-masing menyumbangkan
21.9 peratus dan 39 peratus kepada perolehan kumpulan.
Menurut Rameli, Ingress mengalami
kerugian sebelum ini apabila membekalkan komponen
automotif kepada Proton tetapi beliau percaya perkara
itu akan berubah dengan pengenalan Proton Exora.
Tambah beliau, bagi bergerak ke
hadapan, Ingress juga akan membekalkan komponen
automotif untuk Mitsubishi Triton selain membekalkan
acuan untuk kereta Ford dan Mazda di Thailand dalam
usaha memperkukuhkan prestasi kewangannya.
Bagi segmen bukan automotif, bahagian
projek dan tenaga kejuruteraan kumpulan telah memperoleh
kontrak pembekalan tenaga untuk projek landasan
kereta api berkembar Ipoh-Padang Besar bernilai
RM1 billion, jelasnya.
Kata Rameli, selain itu, bahagian
tersebut juga mempunyai kontrak dalam tangan berjumlah
RM185.1 juta yang mana RM104.3 juta dijangka memberi
kesan positif kepada prestasi kewangan yang akan
berakhir 31 Januari 2010.
|