| INGRESS
Corporation Bhd (Ingress) pengeluar komponen automotif
akan memberi tumpuan kepada operasi kilangnya di
Thailand dan pembekalan kepada Perusahaan Otomobil
Kedua Sdn Bhd (Perodua) bagi mengukuhkan operasinya.
Naib Pengerusi Eksekutifnya, Rameli
Musa, berkata kedua-dua operasi itu mampu menjamin
perolehan yang lebih lumayan berbanding kontrak
pengeluaran untuk Perusahaan Otomobil Nasional Bhd
(Proton).
Ingress kini menerima kontrak
bernilai RM65 juta daripada Perodua, RM2.5 juta
daripada Proton dan kira-kira RM100 juta bagi pengeluar
kereta jenama lain menerusi operasi kilangnya di
Thailand setahun, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang
media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Ingress
di Hotel Equatorial, Bangi, semalam.
Rameli berkata, jika Perodua melancarkan
model baru dalam tempoh sehingga tiga tahun akan
datang, Ingress dijangka mampu mendapat tambahan
tempahan sebanyak RM40 juta.
Katanya, nilai kontrak pembekalan
kepada Proton juga semakin berkurangan dengan pelancaran
model barunya, Gen.2 yang menggunakan teknologi
berbeza.
Ingress kini membekal bingkai pintu
model Waja dan Wira yang bernilai di antara RM140
hingga RM150 seunit tetapi untuk Gen.2 ia hanya
membekal bahagian getah yang berharga RM31 seunit.
Ini menyebabkan perolehannya daripada
Proton semakin merosot berbanding Perodua kerana
ada antara komponen yang dibekalkannya bernilai
sehingga RM700 seunit.
Selain kereta nasional, Ingress
juga mengeluarkan komponen untuk jenama seperti
Honda, Mazda dan Mitsubishi yang dikeluarkan menerusi
kilangnya di Thailand.
Rameli berkata, Ingress baru-baru
ini mengadakan perbincangan dengan Toyota dan Nissan
untuk mengeluarkan komponen bagi kenderaan keluaran
mereka.
Mengulas prestasi syarikat untuk
tahun kewangan berakhir 31 Januari lalu, Rameli
berkata, walaupun perolehan dijangka meningkat,
keuntungan sebelum cukai dijangka merosot.
Beliau berkata, ia disebabkan kekurangan
permintaan sejak kebelakangan ini dan sikap tunggu
dan lihat pengguna sebelum mengambil keputusan membeli
kereta.
Dalam tempoh sembilan bulan
berakhir 31 Oktober lalu, Ingress mencatatkan keuntungan
sebelum cukai RM14.061 juta berbanding RM27.95 juta
dalam tempoh yang sama tahun lalu, katanya.
|