Features - News
 
05 May 2003 - New Straits Times
By Shafinaz Sheikh Maznan
Ingress pengeluar bingkai pintu kenderaan terbesar ASEAN

Kuala Lumpur 4 Mei - Tiada siapa menyangka, Ingress Corporation Bhd. (Ingress) milik bumiputera kini mampu muncul sebagai pengeluar bingkai pintu kenderaan terbesar di ASEAN yang turut digunakan oleh para pengeluar kereta terkemuka dunia.

Selain di Nilai, Seremban dan Bukit Beruntung, Selangor, Ingress juga mempunyai kilang pengeluarannya di kawasan perindustrian Eastern Seaboard Rayong, Thailand.

Melalui kilang-kilang yang dimilikinya, Ingress, membekalkan produk-produk yang dikeluarkan kepada empat pengeluar kenderaan utama seperti Mitsubishi, Ford/ Mazda, Honda dan GM/ Isuzu.

Naib Pengerusi Eksekutif Ingress, Rameli Musa ketika ditanya mengenai kejayaan itu berkata: "Ia membuktikan matlamat kerajaan bagi memajukan vendor tempatan khususnya bumiputera telah tercapai".

Beliau memberitahu Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini bahawa kejayaan itu adalah hasil kebolehan reka bentuk sendiri melalui pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang dimulakan Ingress sejak awal lagi.

"Dalam industri automotif, adalah penting bagi vendor mempunyai kapasiti reka bentuk kerana pembuat kenderaan cuma menyediakan konsep model baru, rangkanya kita yag buat".

"Malangnya, lebih ramai vendor tempatan yang tidak ada keupayaan sebegini berbanding yang memilikinya," katanya.

Bagaimanapun, katanya terdapat juga komponen yang tidak memerlukan reka bentuk seperti kemasan plastik dan lampu yang lebih kerap ditukar berbanding pintu, tetapi persaingannya amat sengit.

Di samping itu, persaingan lama Ingress di Thailand dengan syarikat pembekal Jepun dan Korea yang diketahui mengeluarkan kenderaan bermutu tinggi di dunia turut membantunya mencapai piawaian bertaraf dunia.

Sebagai contoh, Ingress merupakan antara 20 pembekal terbaik Ford/Mazda dari segi kualiti dan penghantaran.

Honda pula, berkata, tetap memilih Ingress disebabkan oleh pengurusan dan kualitinya walaupun terdapat beberapa syarikat lain didakwa menawarkan harga yang lebih murah.

"Saya yakin, banyak syarikat Malaysia yang mampu bersaing, tidak semestinya dengan cara menubuhkan syarikat di Thailand tetapi menggunakan syarikat di sini untuk mengadakan pemasaran di sana," nasihatnya.

Ditanya persediaannya menghadapi perjanjian perdagangan bebas ASEAN (AFTA), Rameli menjangkakan operasi Ingress terutamanya di Thailand akan menjadi lebih positif.

"Kami menjangka Honda akan meningkatkan pengeluarannya sekaligus memasuki pasaran tempatan melalui kilangnya di Melaka, begitu juga dengan Isuzu".

"Kita juga meramalkan kenderaan-kenderaan tersebut akan menjadi lebih murah di sini berbanding sekarang walaupun mungkin tidak standing kenderaan nasional," katanya.

Mengulas lanjut pelaksanaan AFTA bagi industri automotif mulai 1 Januari 2005, Rameli yakin para pemain tempatan mampu bersaing dengan mana-mana syarikat seumpamanya di ASEAN.

"Dari segi pembangunan vendor di Malaysia, pertumbuhannya adalah lebih professional malah tidak terganggu dari tahun 1985 berbanding negara-negara ASEAN lain.

"Dari segi pengurusan dan teknologinya pula, saya lebih yakin dengan industri automotif di tanah air kecuali di Thailand yang mempunyai banyak dimiliki 100 peratus oleh syarikat Jepun," katanya.