| Kuala
Lumpur, 20 April - Ingress Corporation Bhd (Ingress),
syarikat senaraian awam yang menjadi pengeluar utama
bingkai pintu kereta di ASEAN melalui kilangnya
di Thailand dan Malaysia, kini semakin mengukuhkan
kedudukannya.
Usaha itu dapat dilihat melalui cadangan Ingress
melabur sebanyak RM13 juta di Indonesia setelah
berjaya mendapat kontrak pembekalan untuk kereta
Suzuki dan Mitsubishi di republik itu.
"Syarikat itu juga meneliti
kemungkinan membina sebuah lagi kilang baru di Thailand
sekiranya berjaya mendapat kontrak baru dari Honda
di sana," kata naib pengerusi eksekutifnya
En.Rameli Musa.
"Kami sedang berunding bagi
model baru Honda, jika berjaya, Honda akan menjadi
pelanggan Ingress yang terbesar," kata Rameli
sambil menyatakan Ingress telah menggunakan sepenuhnya
kawasan seluas dua hektar miliknya di Kawasan Perindustrian
Rayong, Thailand.
Kesemua ini jugak belum lagi mengambil
kira pelaburan sehingga RM37 juta yag akan dilaksanakan
di Malaysia.
Mengenai pelaburan di Indonesia,
Rameli berkata, perbincangan sedang dimuktamadkan
untuk membeli dua buah bangunan baru siap serta
tanah seluas 1.2 hektar di Indonesia bagi tujuan
operasi berkenaan.
Rameli berkata, Ingress akan membekalkan
bingkai pintu kereta untuk model baru pengeluar
kereta Jepun, Suzuki yang memilih Indonesia sebagai
pusat eksportnya, menerusi Projek Kenderaan Asia
Suzuki mulai Oktober ini.
"Bagi Mitsubishi pula, komponen
kemasan Ingress, akan dibekalkan bagi model kereta
FE-T mulai Mac tahun depan," katanya kepada
Utusan Malaysia dalam satu pertemuan di pejabatnya,
disini.
Menurutnya, pembekalan bingkai
pintu kereta ke Indonesia akan dikeluarkan dalam
bentuk separuh siap di Nilai, Negeri Sembilan sebelum
dihantar ke Jakarta untuk proses akhir.
"Sejauh mana kami akan memindahkan
barisan pengeluarannya ke Jakarta yang kini diproses
di kilang kami di Nilai, ia terpulang kepada permintaan.
"Kami sedang berunding dengan
satu lagi pengeluar kenderaan, sekiranya perlu kami
mungkin pindahkan kilang kami," tambahnya.
Katanya, jika kadar faedah Indonesia
yang kini berada di sekitar paras 18 peratus kekal
stabil dibawah 10 peratus, permintaan kenderaan
di negara berkenaan akan menokok empat, kali ganda
berbanding anggaran semasa 300,000 unit kenderaan
setahun.
Rameli berkata, Indonesia yang
daripada segi peratusannya menyaksikan pertumbuhan
keluaran kenderaan lebih cepat berbanding Malaysia,
merupakan pasaran eksport kedua besar selepas Thailand.
"Lebih kurang 70 peratus kenderaan
Mitsubishi di Thailand adalah dieksport dan ini
bermakna komponen Ingress yang dibekalkan kepada
mereka, juga berada di serata dunia," kata
beliau yang turut membekalkan kepada kereta Honda.
Beliau berkata, kegiatan pengeluaran
komponen automotif (ACM) Ingress di Thailand diramalkan
kekal kukuh antara 30 hingga 40 peratus bagi tahun
kewangan masing-masing yang akan berakhir pada 31
Januari 2004 dan 2005.
Rameli berkata pertumbuhan itu
bukan hanya daripada projek-projek sedia ada tetapi
juga yang baru diperolehnya seperti Honda Accord
dan Honda Fit yang akan mula menyumbang kepada perolehan
syarikat pada tahun kewangan yang akan berakhir
2004.
"Kami baru sahaja menerima
tempahan dari Mitsubishi untuk membekalkan bahagian
kemasan bagi model baru kereta pikap dengan anggaran
bekalan 600,000 set kereta bagi tempoh lima tahun
(120,000 set setahun).
"Penghantaran pertama akan
dibuat pada Julai 2005," katanya. Thailand
katanya, dijangka mengalami perkembangan yang pesat
dengan pertumbuhan yang jauh lebih besar bagi pengeluaran
kenderaan.
|