Newsroom
Ingress tinjau teroka pasaran India


RAWANG: Pengeluar komponen automotif, Ingress Corporation Bhd, bercadang membuka kilang pengeluaran baharu di India bagi memenuhi permintaan automotif yang semakin berkembang di negara itu.

Naib Pengerusi Eksekutif dan Ketua Eksekutif Kumpulan Ingress Corporation Bhd, Datuk Rameli Musa, berkata pihaknya bercadang untuk membuka kilang pengeluaran di Gujarat, India, dengan jangkaan pelaburan sehingga kira-kira RM60 juta.

Beliau berkata, pasaran India menawarkan peluang pertumbuhan yang cerah untuk pengeluar komponen automotif itu mengukuhkan kehadirannya di pasaran luar negara.

"Kami merancang mengembangkan kehadiran di India memandangkan pasaran itu mempunyai permintaan yang tinggi.

 "Jualan kenderaan dianggarkan berjumlah lima juta setahun. Ia menawarkan peluang pertumbuhan besar untuk kami tembusi," katanya.

 Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan ke Ingress Technologies Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Ketika ini, Kumpulan Ingress mempunyai sebuah kilang pengeluaran di Delhi, India.

 Mengulas lanjut mengenai kilang pengeluaran baharu di India itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan dan anggota Pengasas Ingress Corporation, Datuk Dr Ab Wahab Ismail, berkata kilang baharu di Gujarat, India itu dijangka beroperasi pada 2019.

 Beliau berkata, pihaknya mengunjurkan perniagaan di India mencatatkan pendapatan sebanyak RM40 juta tahun ini berbanding RM30 juta tahun lalu.

 Ketika ini, Ingress mempunyai operasi di Malaysia, Thailand, Indonesia dan India.

Oleh Mahanum Abdul Aziz
mahanum_aziz@bh.com.my